SUSPEK ditahan polis di Lebuhraya Salak berhampiran Taman Connaught. FOTO ihsan pembaca
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEORANG pemandu cuba melarikan diri selepas terserempak polis sehingga melanggar kenderaan lain Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian 12 tengah hari itu, suspek yang memandu Proton Preve melanggar Perodua Viva dalam cubaan melarikan diri.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 41 tahun itu gagal apabila dia ditahan di Lebuhraya Salak berhampiran Taman Connaught.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian berlaku ketika Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya membuat rondaan sebelum melihat kenderaan dinaiki suspek dalam keadaan mencurigakan di Pandan Indah.

“Peronda MPV mengarahkan suspek untuk memberhentikan kereta tetapi suspek memecut laju.

“Suspek memandu kereta dalam keadaan merbahaya dan melanggar Perodua Viva di Jalan Tun Razak,” katanya.

Noor Azmi berkata, suspek ditahan di Lebuhraya Salak berhampiran Taman Connaught.

“Semasa ditahan suspek memberitahu dia panik kerana tidak membawa lesen memandu dan dalam pengaruh dadah.

“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif amphetemine (AMP),” katanya.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau iaitu memiliki senjata merbahaya.

“Suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 185 Kanun Keseksaan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Sesyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 4:29 PM