Pegawai Unit Forensik, Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan kebakaran mimbar dan permaidani Masjid Padang Setol. FOTO Shahrizal Md Noor
Zuliaty Zulkiffli


“SAYA orang terakhir menutup pintu dan keluar dari masjid ini 9.30 malam tadi selepas selesai solat Isyak namun terkejut apabila dimaklumkan bahagian mimbar dan permaidani masjid ini terbakar pagi tadi.

“Kejadian disedari anak kariah masjid ini ketika hendak menunaikan solat Subuh dan mendapati api sudah terpadam sendiri,” kata Imam Masjid Padang Setol, Pedu, Sukardi Md Ariff, 59.

Menurutnya, kejadian itu disedari 5.40 pagi namun tidak mengesyaki sesiapa.

Katanya, seminggu sebelum Aidiladha, berlaku kes kehilangan banyak kepala paip di tandas wanita namun tidak tahu siapa yang melakukannya.

“Sebelum ini saya ada terbaca kisah tiga masjid iaitu dua di Pendang dan satu di Alor Setar yang terbakar menyebabkan saya geram dan marah kerana membabitkan rumah Allah SWT.

“Namun tak sangka pula berlaku di masjid di kawasan sendiri kerana ia terletak di kawasan terpencil dan tak tahu apa motif pelaku,” katanya ketika ditemui di Padang Terap hari ini.

Sukardi berkata, sebelum ini masjid itu dikunci sejak dibina pada 2005 namun ada meminta ia dibuka untuk memudahkan jemaah menunaikan solat dan disebabkan itu masjid itu tidak dikunci.

Katanya, dia menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penyiasat, Bahagian Penyiasat Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Penguasa Bomba Khairul Anuar Mhd Sayuti berkata, kebakaran itu dianggarkan 10 peratus membabitkan mimbar dan permaidani masjid.

Beliau berkata, lima anggotanya bertugas menjalankan siasatan untuk mencari punca kejadian itu.

“Api terpadam sendiri disebabkan bahan bakar yang digunakan tidak banyak dan tidak merebak.

“Jika didapati kes ini ada unsur khianat, kita serahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

4 masjid 'terbakar' dalam seminggu

Bukan dua, tapi tiga masjid nak bakar

Lelaki ditahan cuba bakar masjid [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:21 PM