PEMANDANGAN udara di sekitar Kuala Lumpur kelihatan kurang jerebu. FOTO Rosela Ismail
Fairul Asmaini Mohd Pilus


KUALITI udara di seluruh negara semakin baik apabila tiada kawasan yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) kategori sangat tidak sihat setakat 4 petang tadi.

Menurut data di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), lima kawasan iaitu Tawau, Sandakan, Kota Kinabalu (Sabah); Limbang dan Kapit (Sarawak) mencatatkan bacaan IPU tahap baik iaitu di bawah 50.

Enam puluh tiga kawasan lain, termasuk Sri Aman (Sarawak) dan Rompin (Pahang) merekodkan bacaan IPU tahap sederhana antara 51 hingga 100.

Ia jauh berbeza dari semalam yang mana Rompin dan Sri Aman, merekodkan bacaan IPU kategori sangat tidak sihat setakat 4 petang.

Semalam, Rompin mencatatkan bacaan IPU 223, manakala kawasan Sri Aman, 252.

Selain itu, kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Sarawak merekodkan bacaan IPU tidak sihat iaitu 161.

Orang ramai boleh melayari http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui maklumat IPU semasa yang dikemas kini setiap jam.

Maklumat cuaca terkini turut dipaparkan menerusi laman web MetMalaysia atau aplikasi myCuaca dan media sosial MetMalaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:36 PM