KUMPULAN pertama jemaah haji Malaysia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


“BERDEPAN ribut pasir dan hujan lebat selepas selesai ibadah wukuf di Arafah adalah pengalaman paling berharga saya sepanjang berada di Tanah Suci,” kata Nur Diana Mohamed, 30.

Nur Diana bersama suami, Masrudi Mohammad, 31, dan ibunya, Selamah Osman, 65, adalah kumpulan pertama membabitkan seramai 479 jemaah haji Malaysia yang selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi penerbangan Malaysia Airlines, MH8301, jam 3.30 petang hari ini.

Ketibaan mereka disambut Ketua Pegawai Strategi dan Ketua Kakitangan Lembaga Tabung Haji (TH), Hizamuddin Jamalluddin.

Nur Diana berkata, dia akui berdepan banyak dugaan khususnya di Arafah namun, bersyukur kerana semuanya berjalan lancar tanpa masalah.

“Saya anggap ia sebagai pengalaman manis. Selepas sejam selesai menjalani ibadah wukuf di Arafah, tiba-tiba kawasan khemah penginapan kami dilanda ribut pasir sebelum disusuli hujan lebat.

“Ia satu pengalaman berharga buat saya dan ibu ketika di Tanah Suci,” katanya.

Katanya, dia dan suami bersyukur kerana dijemput menunaikan ibadah haji pada usia muda.

Menurutnya, pada awalnya, dia bersama ibu dan bapanya ditawarkan menunaikan haji namun, bapanya tidak dapat ikut bersama kerana masih menjalani rawatan dialisis kerana penyakit buah pinggang.

“Disebabkan itu, suami saya terpaksa menggantikan tempat bapa saya untuk menunaikan haji,” katanya.

Pegawai bank itu berkata, dia juga berpesan kepada jemaah haji musim hadapan supaya menjaga stamina dan melakukan sedikit kajian khususnya mengenai tempat ibadat haji sebagai persediaan mental dan fizikal.

Sementara itu, pesara guru, Amir Rahim, 61, dari Pasir Mas, Kelantan berkata, walaupun berdepan hujan lebat ketika di Mina namun semua jemaah Malaysia berada dalam keadaan tenang.

“Saya ada lihat video tersebar di WhatsApp mengenai banjir kilat di Mina. Memang benar khemah yang kami duduk bocor tapi ia tidak menjejaskan pergerakan jemaah,” katanya.

Amir menunaikan ibadah haji bersama isterinya, Roskhasiah Abdul Rahim, 52, yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Bemban, Pasir Mas, Kelantan.

Turut serta dalam penerbangan balik pertama itu adalah Pengerusi Tabung Haji Tan Sri Md Nor Md Yusof.

Tabung Haji dalam kenyataan berkata, pihaknya menzahirkan kesyukuran kerana semua jemaah selesai melaksanakan ibadah haji dengan baik tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 5:58 PM