DR Noor Hisham (dua kiri) bersama kakitangan HKL memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Dr Jeyaindran yang meninggal dunia, hari ini. FOTO BERNAMA.
Idris Musa dan Mohd Husni Mohd Noor


PEMERGIAN Prof Datuk Dr Jeyaindran Sinnadurai dirasai pelbagai pihak yang menyifatkan mendiang sebagai individu, kawan, doktor, guru dan ketua yang komited dan baik.

Ahli Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi muat naik di Facebook (FB) memaklumkan mendiang antara pakar yang merawat kecederaan bahu dialaminya sebelum ini.

“Salam takziah kepada keluarga Dr Jeyaindran atas pemergiannya awal pagi tadi (hari ini). Semoga keluarga mendiang diberi kekuatan dan ketabahan dalam menempuh dugaan ini,” katanya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, kehilangan mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) itu pada usia 64 tahun adalah kehilangan besar kepada sektor kesihatan negara.

“Saya bagi pihak seluruh warga Kementerian Kesihatan ingin mengucapkan takziah kepada balu, Datin Seri R Sunita dan keluarga mendiang.

“Mendiang adalah seorang yang sangat mengambil berat kebajikan pekerja dan berani untuk menyuarakan pandangannya bagi memastikan sistem perkhidmatan kesihatan negara terus berkembang maju.

“Malah, kakitangan yang pernah berkhidmat dengan mendiang memaklumkan beliau bukan hanya tegas dalam urusan kerja, tetapi sangat mudah didekati dan sentiasa menghargai pandangan setiap warga kerja tanpa mengira gred dan jawatan,” katanya.

Beliau berkata, mendiang juga adalah antara peneraju dalam usaha untuk merapatkan hubungan kerjasama antara sektor awam dan swasta, serta pemegang-pemegang taruh yang lain.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mendiang bersara pada 31 Mei 2018 selepas 38 tahun berkhidmat dalam Kementerian Kesihatan.

Katanya, Dr Jeyaindran pernah menjawat Pakar Perunding Kanan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jawatan terakhirnya sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan bermula Mac 2013 hingga bersara.

“Beliau adalah seorang kawan dan guru yang hebat kepada ramai orang,” katanya.

Dr Jeyaindran dilaporkan rebah awal pagi ini dan dibawa ke Jabatan Kecemasan HKL sebelum disahkan meninggal dunia pada 2 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:22 PM