Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI rap Caprice memohon maaf terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kumpulan Anak Muda Kelantan dan rakyat Kelantan berikutan kenyataannya dikatakan memperlekeh rakyat Kelantan.

Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli sebelum ini memuat naik video di Instagram seolah-olah memperlekehkan kebolehan penduduk Kelantan memahami ceramah dalam bahasa Inggeris Dr Zakir Naik di Stadium Sultan Muhammad IV, baru-baru ini.

Dalam satu komen di media sosial pula, Caprice turut mendakwa kadar jenayah di Kelantan adalah yang paling tinggi.

Caprice menerusi Instagram berkata, dia sedia untuk bekerjasama dengan Anak Muda Kelantan untuk membantu ummah kerana mereka mempunyai visi yang sama.

“Kita ada bina platform seperti IslamPro: servis ke rumah, Mengaji.com dan Umrahloka. Lagi baik kita membesarkan platform ini dan bekerjasama kerana dari awal tahun saya pernah cuba berjumpa dengan pemimpin Kelantan. InsyaAllah kalau dapat peluang kita boleh bekerjasama.” katanya.

Bagaimanapun video ceramah Dr Zakir sudah diturunkan pihak Instagram, namun salinan asal masih boleh dilihat di akaun IG Kelantan.

Caprice menyifatkan IG Kelantan sebagai batu api kerana mengambil video berkenaan tanpa meletakkan kapsyen dalam hantarannya.

“Rakyat Malaysia perlu bersatu sama-sama dan tidak terlalu fokus kepada isu perkauman,” katanya.

Terdahulu, NGO terbabit membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, hari ini.

Berita berkaitan

Caprice didakwa hina rakyat Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:34 PM