Shamsul Kamal Amarudin


AHLI perniagaan, Koon Yew Yin memberi keterangan selama dua jam 30 minit kepada polis berhubung kenyataan dalam blognya yang didakwa menghina Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Koon, 87, tiba di Balai Polis Jelapang menaiki kereta BMW 525i dipandu isterinya pada 2.55 petang, sebelum dilihat beredar pada 5.35 petang dengan kenderaan sama.

Pengasas syarikat Gamuda Berhad dan pemilik IJM Corporation itu memberi keterangan di hadapan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Peguamnya, Leong Cheok Keng berkata, polis memaklumkan bahawa anak guamnya tidak akan dipanggil lagi untuk memberi keterangan berhubung kes itu.

“Polis nampaknya berpuas hati dengan kerjasama yang ditunjukkan Encik Koon dan beliau memberi kerjasama baik sepanjang proses berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Koon ketika ditemui enggan mengulas, sebaliknya memberitahu polis menasihatinya supaya tidak membuat sebarang kenyataan berhubung kes itu.

“Polis kata saya tidak akan dipanggil lagi dan minta saya jangan cakap apa-apa (berkaitan kesnya),” katanya.

Dalam blognya sebelum ini, Koon dilapor menulis mengenai anggota tentera di Malaysia yang hanya ‘makan dan tidur’ selain menembak di lapangan sasar sahaja.

Beliau dipetik menyarankan supaya anggota keselamatan ditugaskan membantu sektor perladangan yang banyak mengambil warga asing ketika ini.

Kenyataan itu menimbulkan kemarahan dan kecaman pelbagai pihak khususnya, anggota ATM serta veteran, yang kemudian menyebabkan Koon memohon maaf dan menarik balik kenyataan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 6:38 PM
KOON memberi keterangan lebih dua jam di Balai Polis Jelapang. FOTO Abdullah Yusof