DR Zakir Naik sambung beri keterangan di Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP.
DR Zakir Naik sambung beri keterangan di Bukit Aman. FOTO Arkib NSTP.
Khairul Najib Asarulah Khan


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menyambung semula proses rakaman percakapan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik, hari ini.

Difahamkan Zakir bersama peguamnya memasuki Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan Mercedes Benz warna hitam pada 3.15 petang dengan menggunakan pintu kedua.

Bagaimanapun, penceramah terbabit masih belum keluar dari Bukit Aman sehingga 9 malam tadi.

Lebih 20 petugas media masih menunggu di pintu utama Bukit Aman sejak 2.30 petang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata, Zakir datang bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.

“Keterangan Zakir diambil bermula 3.15 petang sehingga 7 malam dan disambung semula selepas dia selesai solat Maghrib.

“Rakaman percakapan Zakir diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Jumaat lalu, Zakir turut memberi keterangan di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman bermula 3.30 petang hingga 7 malam.

Namun, pendakwah antarabangsa itu memohon penangguhan untuk beliau berbuka puasa sebelum rakaman percakapan disambung hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Ogos 2019 @ 10:04 PM