ANTARA wakil media yang menunggu di Bukit Aman selepas Dr Zakir Naik dipanggil untuk memberi keterangan bagi kali kedua sejak petang semalam. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Khairul Najib Asarulah Khan


PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik masih belum keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sehingga 1 pagi, hari ini.

Terdahulu, Zakir bersama peguamnya memasuki Bukit Aman dengan Mercedes Benz warna hitam pada 3.15 petang dengan menggunakan pintu kedua.

Sebahagian media yang menunggu sejak 2.30 petang dilihat mula pulang pada 1 pagi ini.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed dalam satu kenyataan berkata, Zakir datang bersama peguamnya, Datuk Akberdin Abdul Kader.

“Keterangan Zakir diambil bermula 3.15 petang sehingga 7 malam dan disambung semula selepas dia selesai solat Maghrib.

“Rakaman percakapan Zakir diambil mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Jumaat lalu, Zakir turut memberi keterangan di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman bermula 3.30 petang hingga 7 malam.

Namun, pendakwah antarabangsa itu memohon penangguhan untuk beliau berbuka puasa sebelum rakaman percakapan disambung petang semalam.

Rakaman percakapan itu dibuat susulan dua aduan yang diterima terhadap pendakwah terkenal berkenaan.

Satu aduan berhubung video ceramah Zakir yang menyatakan penganut Hindu tidak menyokong Perdana Menteri Malaysia, sebaliknya menyokong Perdana Menteri India.

Aduan kedua mengenai kenyataan Zakir yang meminta kaum Cina untuk keluar dari Malaysia yang dilaporkan sebuah portal berita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:17 AM