Gambar diambil pada 19 Ogos menunjukkan kawasan terjejas akibat kebakaran hutan di Kuala Baram, Miri yang dirakam dari pesawat Bombardier CL-415 APMM. FOTO Ihsan APMM
BERNAMA

ANGKATAN Pertahanan Awam (APM) mengenal pasti kawasan seluas 10.52 hektar (26 ekar) yang masih berasap tebal akibat kebakaran tanah gambut dalam sektor 1 iaitu membabitkan lokasi di Tudan serta Kompleks Anak Yatim Hamidah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, tinjauan kebakaran dilakukan melalui udara menggunakan dron pasukan APM Bintulu pada pagi ini di lokasi terbabit.

“Hasil tinjauan di kawasan sama mendapati 3.6 hektar (9 ekar) telah terbakar,” katanya dalam satu kenyataan di Miri, pagi ini.

“APM akan membuat tinjauan dari masa ke semasa bagi memastikan keadaan kawasan tersebut di dalam kawalan,” tambahnya lagi.

Untuk rekod, usaha pemadaman kebakaran hutan serta tanah gambut di Kuala Baram dibahagikan kepada tiga sektor dengan sektor 1 dan 2 pemadaman dilakukan oleh bomba serta kakitangan sebuah syarikat korporat.

Sektor 3 dilakukan oleh pesawat Bombadier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membantu usaha pemadaman sejak 15 Ogos lalu,

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:06 AM