Pelajar SMK Kampung Laut Ahmad Syauqan yang mengalami kecacatan fizikal pada kedua belah kaki dan tangannya tidak mahu kekurangan dirinya menjadi penghalangnya untuk berjaya. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


KECACATAN fizikal pada kedua belah kaki dan tangan yang dialami tidak melunturkan semangat Ahmad Syauqan Asqalani Azham untuk demi menimba ilmu.

Kekurangan diri dialaminya menyebabkan pelajar tingkatan lima dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampong Laut, Tumpat yang berkerusi roda itu terpaksa mengharapkan bantuan rakan-rakan untuk menyorongnya setiap hari sama ada mahu ke tandas atau ke kantin.

Ahmad Syauqan yang dilahirkan dengan keadaan kaki dan tangan bengkok menyebabkan dia tidak dapat berjalan dan mula menggunakan kerusi roda sejak di sekolah rendah.

Menurutnya, sejak di sekolah rendah lagi pihak sekolah sangat membantunya terutama menetapkan lokasi kelas di tingkat bawah.

“Memandangkan saya sukar untuk bergerak ke tingkat atas dengan menggunakan kerusi roda, saya sentiasa diutamakan oleh pihak sekolah untuk menentukan kedudukan kelas.

“Ada masanya berasa agak serba salah tetapi dengan status saya sebagai orang kurang upaya (OKU) sebegini, hanya itu saja caranya dan saya sangat menghargainya,” katanya ketika ditemui di sekolahnya.

Anak ke-11 daripada 12 adik-beradik itu berkata, setiap pagi dia akan dihantar oleh ibunya, Zaiton Abdullah, 56, ke sekolah dengan menaiki kereta.

Menurutnya, sebaik tiba di pintu pagar sekolah, kerusi roda yang boleh dilipat akan dikeluarkan dan Ahmad Syauqan akan mengesot keluar sebelum duduk di atasnya dengan bantuan ibunya.

“Ada ketikanya beberapa rakan akan menunggu saya di pintu pagar untuk membantu menolak kerusi roda memasuki kelas.

“Selalunya ia tidak menjadi masalah kepada saya kerana jarak dari pintu pagar sekolah ke kelas tidak jauh.

“Bantuan dari rakan hanya diperlukan untuk ke tandas dan di kantin atau mengirimkan makanan untuk dibeli di kantin,” katanya sambil memberitahu setiap kali peperiksaan, dia akan diberikan masa tambahan disebabkan menulis menggunakan tangan kiri dan agak lambat.

Ahmad Syauqan berkata, dia tidak mahu kekurangan dirinya itu menghalang cita-citanya untuk menjadi pakar dalam bidang sistem komputer.

“Sejak dahulu saya minat membaiki komputer dan jika dipermudahkan saya mahu memilih jurusan berkenaan di institusi kemahiran.

“Walaupun keadaan saya begini (kecacatan fizikal) namun saya tetap menyimpan hasrat untuk berjaya seperti orang lain yang normal.

“Saya melihat kemahiran membaiki komputer dan jurusan yang berkaitan dengannya amat sesuai buat saya dan saya yakin akan berjaya suatu hari nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:19 AM