BERNAMA

KUMPULAN pancaragam Sri Dasmesh Pipe Band yang dinobatkan sebagai juara di Kejohanan Band Pipe Dunia di Scotland menyifatkan kejayaan kumpulan itu mengharumkan nama negara sebagai hadiah terbaik sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos ini.

Jurucakap kumpulan yang juga ‘Drum Sergeant ’ Tripert Singh Khalsa berkata', lebih manis kejayaan yang dicapai itu juga menobatkan Malaysia sebagai satu-satunya kumpulan dari Asia Tenggara yang berjaya muncul juara sejak kejohanan itu dianjurkan 30 tahun lalu.

“Ia adalah satu perasaan yang tidak dapat digambarkan dan dijangka, apabila nama kami diumumkan sebagai pemenang dan Jalur Gemilang dinaikkan.

“Kami cukup bangga melihat Jalur Gemilang berkibar di pentas utama. Pada kami ini hadiah terbaik dari kami sempena Hari Kemerdekaan negara,” katanya kepada pemberita sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, malam tadi.

Kumpulan yang pernah memasuki pertandingan sama pada 2015 itu muncul juara keseluruhan serta mendapat tempat pertama dalam kategori ‘drumming’ dan ‘best parade’, mengetepikan cabaran 13 negara yang mengambil bahagian dalam siri dunia yang dianjurkan oleh Persatuan Royal Scottish Pipe Band.

Selain Malaysia, antara pasukan lain yang turut serta dalam pertandingan yang mengumpulkan 8,000 peserta dalam kejohanan dua hari yang berakhir 17 Ogos di Glasgow Green itu ialah dari New Zealand, Australia, Kanada, Amerika Syarikat dan tuan rumah, Scotland.

Tripert berkata, kejayaan itu membuktikan anak Malaysia mampu mencipta nama di persada dunia asalkan setiap perkara dilakukan dengan sepenuh hati selain sedia belajar dan menjadikan kegagalan lalu sebagai pembakar semangat.

Beliau berkata setelah gagal dalam edisi 2015, mereka mula berlatih dan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan bagi mendapatkan khidmat tutor yang pakar dalam bidang itu daripada Australia.

“Dari situ kami belajar tentang muzik, teori dan perkara berkaitan di samping latihan intensif dua jam sehari, tiga kali seminggu selain belajar sendiri di rumah dan menghantar video latihan kepada tutor ketika tiada latihan.

“Akhirnya pengorbanan kami berbalas apabila muncul juara kerana bukan mudah untuk menewaskan negara lain yang lebih hebat, khususnya Scotland,” katanya yang turut memuji 32 ahli kumpulan itu yang sedia berkorban masa dan tenaga demi negara.

Terdahulu, ketibaan kumpulan itu pada 11.30 malam disambut sanak saudara yang sedia menunggu sejak awal dan mereka kemudiannya memainkan dua buah lagu sebagai kenangan sebelum mengakhirinya dengan menyanyikan lagu Negaraku beramai-ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:24 AM
KUMPULAN pancaragam Sri Dasmesh Pipe Band tiba di KLIA selepas memenangi Kejohanan Band Pipe Dunia di Scotland. FOTO Mohd Fadli Hamzah