SUSPEK yang ditahan polis. FOTO Amran Yahya


CUBAAN dua wanita untuk memperdaya dua beranak di Kampung Pilah Tengah, Senaling, Kuala Pilah, semalam, dengan menyamar sebagai kakitangan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak berjaya apabila mereka diberkas polis.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, suspek masing-masing berusia 30 dan 35 tahun dikatakan menggunakan modus operandi sama dengan dua kejadian sebelum ini iaitu menyamar sebagai kakitangan JKM dan berpura-pura menemubual mangsa kononnya untuk memberikan bantuan kewangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok berkata, mangsa seorang wanita berusia 56 tahun dan ibunya didatangi dua wanita yang mengaku sebagai pegawai dari JKM.

“Suspek memaklumkan ingin memberi bantuan membaiki rumah sebanyak RM20,000 bagi kediaman yang diduduki mangsa, manakala RM40,000 untuk rumah tinggal di bahagian belakang rumah mangsa selain menawarkan bantuan wang sara diri.

“Suspek juga sempat menumpang untuk solat di ruang tamu rumah mangsa selain mengambil gambar di dalam dua bilik dan gambar kedua-dua beranak itu.

“Selepas itu, suspek memberitahu akan datang semula untuk membuat bajet bagi bantuan untuk membaiki dua rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Haslah, curiga dengan kelakuan suspek, mangsa meminta bantuan penduduk kampung untuk menahan dua wanita berkenaan sebelum diberkas polis.

Polis turut merampas satu set kunci, Perodua Myvi berwarna putih dan dua telefon bimbit.

“Ketika tangkapan dilakukan, tiada sebarang dokumen atau pas pengenalan diri sebagai pegawai JKM ditemui. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

“Pihak kami juga masih menyiasat sama ada suspek adalah individu sama yang terbabit dalam kejadian di Kampung Gentam dan Kampung Parit pada 6 serta 13 Ogos lalu,” katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan dua wanita warga emas berusia 70 tahun diperdaya menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM13,000 dan RM6,000.

Modus operandi mereka dengan menyasarkan wanita warga emas yang tinggal bersendirian dan suspek memperkenalkan diri sebagai pegawai JKM untuk siasatan bantuan kewangan. Seorang suspek akan berlegar-legar mengambil gambar di dalam rumah sebelum menyamun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 12:18 PM