DINDING sebahagian pangsapuri runtuh akibat letupan di Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, Ahad lalu. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal
Hadzlihady Hassan


SELEPAS tiga hari bertarung nyawa, lelaki yang melecur hampir seluruh badan akibat letupan gas bocor di Pangsapuri Green Garden, Jalan Paya Terubong, Ahad lalu meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

Mangsa, Lee Kok Eang, 62, sebelum ini dikejarkan ke HPP, Ahad lalu selepas badannya melecur akibat letupan yang turut memusnahkan dinding dan koridor di pangsapuri itu.

Anak lelaki mangsa, Lee Chye Soon, 38, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian bapa kerana sebelum ini doktor memberitahu peluang bapanya untuk hidup sangat tipis.

“Doktor ada memberitahu yang bapa hanya mempunyai peluang satu peratus sahaja untuk hidup berikutan kecederaan dialaminya sangat teruk.

“Badannya begitu lemah dan mungkin kerana faktor usia membuatkan bapa tidak mampu untuk melawan kesakitannya yang ditanggungnya itu dan dia meninggal dunia, 2.30 pagi tadi,” katanya.

Lee yang bekerja sebagai penjual kereta berkata, buat masa ini dia terpaksa menumpang di rumah ibu mentuanya yang tinggal berhampiran kerana rumah didiami sejak 15 tahun lalu itu masih belum dibaiki.

“Dengan keadaan isteri yang hamil tujuh bulan sekarang, saya terpaksa menumpang di rumah ibu mentua sementara menunggu rumah yang mengalami kerosakan dibaiki.

“Saya juga berharap ada pihak sudi menghulurkan bantuan bagi mempercepatkan pembinaan semula rumah untuk kami duduk selepas ini,” katanya.

Dalam kejadian 8 pagi Ahad lalu, keunit didiami mangsa bersama anak lelaki, menantu dan cucu runtuh dinding dan koridor akibat letupan yang dipercayai berpunca daripada kebocoran gas.

Letupan itu dipercayai berlaku selepas mangsa cuba menyalakan pemetik api untuk mencucuh rokok sebelum ia menyambar gas yang bocor dan memenuhi rumah dalam rumah terbabit.

Berita berkaitan

Berlari dengan rambut, badan terbakar

Unit pangsapuri meletup [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:28 PM