Kebun pisang Hussin dimusnahkan gajah yang masuk ke Kampung Aring 5, Gua Musang dalam kejadian pagi tadi. Foto Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


TUJUH beranak Orang Asli di Kampung Aring 5, Gua Musang berdepan detik cemas apabila rumah mereka dihampiri seekor gajah jantan liar pagi tadi.

Bagaimanapun, mereka terselamat selepas gajah terbabit beredar memasuki kawasan hutan berhampiran 7 pagi.

Penduduk kampung itu, Hussin Selik, 51, berkata, gajah liar itu kerap keluar menghampiri rumah penduduk sejak dua minggu lalu.

Menurutnya, hanya kejadian awal pagi tadi paling mencemaskan apabila gajah berkenaan mengelilingi rumahnya hampir 15 minit sebelum beredar ke hutan.

“Saya terjaga dari tidur apabila terdengar suara seekor gajah berhampiran rumah dan menjenguknya menerusi tingkap.

“Saya nampak seekor gajah sedang mengelilingi rumah hingga menyebabkan saya sekeluarga gementar dan ketakutan tetapi nasib baik gajah itu beredar ke kawasan hutan tidak lama kemudian,” katanya.

Menurut Hussin, dia kemudiannya keluar rumah pada 7.30 pagi dan mendapati kebun pisang seluas dua hektar yang diusahakannya bersama jiran serta memiliki 50 pokok dimusnahkan gajah terbabit.

Katanya, sebanyak 100 pokok pisang juga turut dimusnahkan gajah dalam kejadian pada 8 Ogos lalu.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Orang Asli (MPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin, 31, berkata, gajah jantan liar itu didapati memang kerap memasuki kampung berkenaan.

Menurutnya, gajah liar mula memasuki kampung terbabit sejak 8 Ogos lalu dan beredar masuk semula ke hutan empat hari kemudian.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan berjaya menghalau gajah terbabit.

“Namun, hari ini haiwan itu datang semula ke kampung kami hingga menimbulkan kebimbangan penduduk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 1:40 PM