Chee Khoon (tengah) menunjukkan 30 biji kelapa dan kereta yang dirampas daripada lelaki yang disyaki pencuri kelapa di Kampung Tebuk Mufrad, Sungai Air Tawar di Sungai Besar. Foto Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


CUBAAN seorang lelaki mencuri kelapa dalam kebun di Kampung Tebuk Mudrad, Sungai Air Tawar di Sabak Bernam gagal apabila dia ditahan pemiliknya semalam.

Anggota Kejiranan Rukun Tetangga (KRT) yang sedang melakukan rondaan bersama pemilik kebun bagi membantu menahan lelaki terbabit.

Dalam kejadian 5 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun itu dikesan sedang memikul keluar guni berisi buah kelapa sebelum pemilik kebun berusia 42 tahun dan anggota KRT melihat kelibatnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, mereka kemudiannya bertindak menahan suspek sebelum menghubungi pihak polis.

Menurutnya, polis yang tiba tidak lama kemudian menahan suspek dan merampas besi pengupas, 30 biji kelapa, serangkai anak kunci dan sebuah kereta Proton Iswara milik suspek.

“Siasatan polis mendapati suspek mengaku menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu dan menggunakan kereta miliknya untuk urusan jual beli buah kelapa curi.

“Hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapatinya positif dadah selain mempunyai enam rekod lampau jenayah dan narkotik,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.

Beliau berkata, suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:45 PM