GAMBAR hiasan. Arkib NSTP.
Irwan Shafrizan Ismail


MEKANISME pelaksanaan program subsidi petrol bersasar kepada golongan berpendapatan rendah (B40) akan diumumkan dalam tempoh dua minggu lagi.

Bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaannya tertakluk kepada keputusan dan nasihat Jemaah Menteri.

“Ia di penghujungnya, cuma kita hendak memperhalusi beberapa perkara. Kalau semuanya berjalan mengikut jadual, apa-apa pengumuman mengenainya akan saya cuba buat dalam dua minggu terdekat ini.

“Itupun (pelaksanaan program) tertakluk kepada apa-apa keputusan dan nasihat Jemaah Menteri,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan kementeriannya di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, beliau dipetik berkata, berpuas hati dengan tahap penyediaan kertas kerja Program Subsidi Petrol Bersasar yang dijanjikan kepada golongan B40.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, kerajaan bersedia mempelajari model digunakan Taiwan dan Turki dalam menangani masalah kekurangan bekalan makanan dan membendung kenaikan harga barangan.

Katanya, Taiwan biarpun sering dilanda taufan, namun jarang menghadapi masalah terputus bekalan makanan manakala, di Turki kerajaan negara itu mengamalkan campur tangan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aspek kawalan barangan dan ia berjaya menangani isu kenaikan harga.

“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha kementerian (Datuk Muez Abd Aziz) dan kita akan hantar pegawai terbaik ke kedua-dua negara ini bagi melihat dan mempelajari model digunakan negara berkenaan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyaksikan dua majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) iaitu antara Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Prestomall bagi kerjasama memperkasa e-dagang.

Satu lagi MoU antara Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi kerjasama perkongsian kepakaran dan latihan amali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 2:52 PM