Zainal selepas dijatuhi hukuman penjara 10 bulan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu kerana melupuskan harta curi iaitu tiga kuali tembaga bernilai RM1,200 milik jirannya. Foto Zatul Iffah Zolkiply
Zatul Iffah Zolkiply


LELAKI dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, kerana melupuskan harta curi iaitu tiga kuali tembaga bernilai RM1,200 milik jirannya.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Zainal Ramli, 36, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Mengikut kertas pertuduhan, Zainal didakwa dengan sengaja melupuskan harta curi iaitu tiga kuali tembaga milik Alias Ngah di hadapan sebuah rumah di Kampung Seberang Tuan Chik Haji pada 5 petang, 14 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Polis Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, mangsa yang berada di rumahnya di Kampung Batin, Seberang Takir di Kuala Nerus kira-kira 9 pagi pada 9 Ogos lalu mendapati tiga kuali tembaga yang diletakkan di beranda rumah hilang disyaki dicuri jirannya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Gong Badak dan tertuduh ditahan di sebuah rumah di Kampung Batin, Seberang Takir pada 10.30 malam, 14 Ogos lalu.

Hasil soal siasat, tertuduh mengaku sudah menjual tiga kuali tembaga itu dengan harga RM200.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 3:04 PM