Mohamad Hussin


INDUSTRI penternakan ayam terus berkembang dengan penghasilan produk makanan tambahan melalui pengekstrakan enzim nanas MD2 bagi menghasilkan hasil ternakan bebas sisa antibiotik dan bebas hormon pertumbuhan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, ternakan ayam itu ditambah dengan enzim probiotik yang diekstrak melalui diet harian ayam berkenaan.

“Saya berbesar hati mengumumkan kejayaan teknologi penyelidikan dan pembangunan (R&D) ini kerana Malaysia mempunyai pakar penyelidik berbakat serta mempunyai syarikat yang mampu memanfaatkan peluang ini untuk mengembangkan dan memajukan industri penternakan.

“Pengguna bukan saja dapat menikmati penghasilan produk sihat dan selamat tetapi juga ayam diberi makanan tambahan serta membiak secara semula jadi.

“Saya berharap pengeluar ayam di Malaysia akan mengamalkan sistem inovatif ini sebagai amalan industri terbaik untuk memastikan ternakan yang lebih berkualiti,” katanya.


Wesley (kiri) bersama Dr Quaza (dua kiri), Dr Nur Aainaa Syafini dan Ketua Pegawai Eksekutif UMP Holdings & Group Ir Syed Mohammad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman menunjukkan produk Ayam Nanas. Foto Amirudin Sahib

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan pelancaran produk Ayam Nanas dan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UMP Technology Sdn Bhd (UMPT) dengan Aqina Farm di Giant Kota Damansara di Petaling Jaya hari ini.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Aqina, Wesley Tan dan Pengurus Besar UMPT, Dr Nur Aainaa Syafini Mohd Radzi.

Dr Quaza Nizamuddin berkata, kerjasama antara Aqina dan UMPT iaitu anak syarikat Universiti Malaysia Pahang (UMP) itu dapat memperkenalkan pemakanan yang lebih sihat, selamat dan lazat untuk dimakan rakyat Malaysia.

Sementara itu, Wesley berkata, Aqina Farm mengamalkan sistem inovatif yang mengintegrasikan ladang nanas Aqina MD2 dan ladang ayam Aqina.

“Aqina menggunakan hasil kumuhan ayam sebagai baja organik untuk meningkatkan kualiti tanah bagi menghasilkan nanas MD2 yang berkualiti,” katanya.

Menurutnya, Kumpulan Aqina akan terus meluaskan produk mereka di dalam pasaran tempatan serta melabur di dalam pemprosesan penternakan pada masa akan datang.

“Kami akan terus menghasilkan pembiakan ayam nanas dan menjadi pembekal inovatif pilihan daging yang lebih sihat kepada pengguna di seluruh Malaysia termasuk Singapura serta seluruh Asean melalui pemborong serta peruncit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 3:30 PM