ANTARA sekolah yang terpaksa ditutup kerana banjir. FOTO Ihsan Jabatan Pendidikan
Abdul Rahemang Taiming


ENAM sekolah di Tawau terjejas akibat banjir dengan dua daripadanya ditutup bermula pagi hari ini, berikutan hujan lebat berterusan menyebabkan beberapa kawasan di sekitar daerah ini dinaiki air.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, dua sekolah yang ditutup ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Serudong Baru dan SK Kuala Apas, masing-masing membabitkan 189 murid dan 349 murid.

Beliau berkata, SK Serudong ditutup kerana murid tidak dapat datang ke sekolah selepas jambatan yang menghubungkan sekolah itu ditenggelami banjir selain kawasan sekitarnya, termasuk Kampung Iban Kuala Nangsang dan Kampung Serudong Baru dinaiki air.

Katanya, di SK Kuala Apas, 90 peratus bangunannya dinaiki air dengan ketinggian antara satu hingga 1.5 meter.

“Dua sekolah tutup hari ini iaitu SK Serudong Baru dan SK Jalan Apas, Tawau.

“Jumlah murid yang terbabit bagi dua sekolah itu ialah 549 orang, manakala guru seramai 55 seorang dan lapan Anggota Khidmat Pelaksana (AKP),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, sekolah lain yang turut terjejas akibat banjir, namun tidak ditutup ialah SK Pasir Putih, SK Blok 31, SK Batu 21 Jalan Balung dan SK Andrassy.

Katanya, SK Andrassy dan SK Blok 31 mencatat kehadiran yang rendah, masing-masing 23 peratus dan 75 peratus berikutan tempat tinggal kebanyakan muridnya terbabit dengan banjir, menyebabkan mereka tidak dapat ke sekolah.


ANGGOTA APM Tawau membantu penduduk berpindah berikutan kediaman mereka terjejas akibat banjir. FOTO Ihsan APM

Sementara itu, sekurang-kurangnya 85 rumah di enam kampung dikenal pasti terjejas teruk akibat banjir berikutan hujan lebat sejak awal pagi tadi.

Hujan berterusan sejak jam 4 pagi itu mengakibatkan beberapa kawasan kampung dinaiki air sehingga paras 3.2 meter.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tawau, Kapten Pertahanan Hussain Mohd Nor berkata, enam kampung yang terjejas teruk ialah Pasir Putih, Rawa-Rawa, Kampung Baru Batu 2, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kampung Serudung Baru dan Kampung Andrassy.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 7.36 pagi sebelum menggerakkan aset bersama sepasukan 24 pegawai dan anggota ke lokasi terjejas.

“Selain perkhidmatan ambulans dan lori, APM turut menggunakan dua bot aluminium untuk memindahkan mangsa, termasuk warga tua dan kanak-kanak ke kawasan selamat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam pada itu, penduduk Kampung Batu 2, Budiman Abdullah, 43, berkata, masalah banjir boleh diatasi sekiranya kerja melebar dan mendalamkan sungai di kawasan itu dijalankan pihak yang berkaitan.

“Sejak hampir 20 tahun tinggal di sini, keadaan sungai semakin cetek dan sudah tidak mampu menampung air hujan yang melimpah.

“Keadaan bertambah teruk apabila bertembung dengan air pasang menyebabkan air sungai tidak dapat mengalir keluar ke laut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 3:35 PM