Mary Victoria Dass


SISTEM JPJeBid yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sejak April lalu berjaya memperoleh kutipan berjumlah RM15.6 juta.

Pengarah Bahagian Pelesenan Kenderaan JPJ, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, jumlah kutipan kasar itu diperoleh sejak pelaksanaan pertama sistem JPJeBid di Putrajaya sehingga ke Sabah, minggu lalu.

“Pengenalan sistem JPJeBid untuk nombor plet di enam negeri bermula Putrajaya (FC), Wilayah Persekutuan (VDN), Kedah (KET), Pulau Pinang (PPC) dan Sabah (SYD) berjaya mencatatkan kutipan kasar kira-kira RM15.6 juta.

“Bahkan, sejak sistem itu dilaksanakan Putrajaya dengan pendaftaran plet siri FC, ia memperoleh kutipan tertinggi sebanyak RM3.2 juta diikuti Wilayah Persekutuan iaitu bagi plet siri VDV9 RM1.56 juta dan VDN pula RM1.3 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran bidaan siri JTR di JPJ Johor, Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Pengarah JPJ Johor, Razali Wagiman.

Bermula esok sistem JPJeBid bagi Johor bagi plet bersiri JTR akan dibuka selama lima hari bermula pada 12 tengah malam esok hingga 11.59 malam, pada 25 Ogos ini, sebelum keputusan diumumkan pada 26 Ogos.

Mengulas lanjut Mohd Rusdi berkata, JPJ menyasarkan untuk menyelesaikan pengenalan sistem JPJeBid ke semua negeri seluruj negara menjelang akhir tahun ini.

“Apa yang akan kita laksanakan, selepas Johor esok, kita akan teruskan sistem JPJeBid di Kelantan, Selangor, Perak, Sarawak, Terengganu dan Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, pihaknya menyasarkan kutipan sekurang-kurangnya RM1 juta dengan pelancaran sistem JPJeBid di negeri ini bermula esok.

“Setakat ni nombor plet paling tinggi pernah dibida di Johor adalah bagi nombor JJJ 1 dengan bidaan RM150,000 pada 2005.

“JPJ Johor juga mencatatkan kutipan RM903,000 bagi siri plet JTP, RM941,000 (JTN) manakala JTM pula merekodkan kutipan sebanyak RM996,000,” katanya.

Katanya, pengguna yang mengalami masalah untuk mendaftar dan membida siri plet JTR boleh menghubungi talian 07-3606012 atau emel di aduan. [email protected].

Berita berkaitan:

  • Bidaan siri JTR mula esok
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 3:36 PM
    SISTEM JPJeBid yang dilaksanakan JPJ sejak April lalu memperoleh kutipan berjumlah RM15.6 juta. FOTO arkib NSTP