MOHD Kamarudin (kiri) menyerahkan nota serahterima tugas kepada Shafie sambil diperhatikan Mohd Zakaria (tengah) ketika Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di IPK Johor. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Izlaily Nurul Ain Hussein


TUJUH anggota polis berpangkat lans koperal dan konstabel di Johor dikesan positif dadah dalam Operasi Blue Devil yang dilaksanakan dari 13 Ogos hingga 17 Ogos lalu.

Operasi dilancarkan Bukit Aman bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pegawai dan anggota membabitkan pemeriksaan terhadap tujuh pegawai kanan dan 100 anggota.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya tidak berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas menerusi undang-undang selain mengenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja.

“Operasi ini dilancarkan di peringkat Bukit Aman dan kita membuat tujuh tangkapan di Johor membabitkan lima anggota berpangkat lans koperal dan dua konstabel.

“Ini usaha berterusan dilaksanakan, malah proses pembersihan pegawai dan anggota daripada penyalahgunaan dadah sudah dibuat dari awal lagi.

“Kita ada sasaran yang kita syak, kita akan pantau. Dari semasa ke semasa, kita buat ujian saringan awal air kencing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Johor di Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Mohd Zakaria Ahmad dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Shafie Ismail.

Mohd Kamarudin berkata, pihaknya berharap dengan pemeriksaan berkala dijalankan, diharapkan tiada lagi pegawai dan anggota polis terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

“Saya mahu semua pegawai dan anggota jauhi dadah, kalau mereka enggan, kita akan ambil tindakan tegas.

“Saya tidak akan berkompromi dan tiada peluang kedua untuk mereka. Jika terbabit, kita ambil tindakan undang-undang yang ada dan tatatertib,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seramai 12,706 individu ditahan dalam 5,769 serbuan di seluruh Johor membabitkan penyalahgunaan dadah sejak Januari hingga 15 Ogos lalu.

Katanya, ia juga membabitkan rampasan seberat 2,727 kilogram dadah dengan nilai RM127.58 juta.

“Kita akan terus menggempur sindiket dadah dan dalam hal ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menggandakan usaha bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 4:28 PM