NOTA ditulis pen merah ditampal pada dinding oleh penjenayah selepas memecah masuk pejabat Kompleks JAPERUN Taboh Naning. FOTO HASSAN OMAR


PENJENAYAH yang memecah masuk tiga premis di Kompleks Jawatankuasa dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Taboh Naning, Simpang Ampat, Alor Gajah, sempat meninggalkan nota dipercayai mencuba mengelirukan semua pihak.

Nota ‘Maafi ya bersepah Rohinga’ yang ditulis dengan pen merah ditampal pada dinding di atas jeriji tingkap Pejabat JAPERUN, dipercayai mencuba mengelirukan polis dan pentadbir pejabat berkenaan.

Selain pejabat, turut dipecah masuk Taman Didikan Kanak-kanak (TADIKA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Mawaddah dan TADIKA Permata Negara yang bersebelahan pejabat berkenaan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Zairi Suboh berkata, kejadian disedari dua kakitangan pejabat ketika hendak memulakan tugas jam 8 pagi ini apabila mendapati pelbagai barangan makanan untuk fakir miskin bersepah dipercayai diselongkar.

“Penjenayah dipercayai memecah masuk pada waktu malam atau awal pagi tadi dengan mengumpil tingkap dan mengopak besi jeriji sebelum melarikan seunit komputer riba, seunit telefon bimbit, lampin pakai buang dan duit syiling.

“Yang peliknya beg plastik berisi bahan makanan seperti beras, gula, susu dan seumpamanya dikoyakkan tetapi yang dicuri hanya gula,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Hadir sama Setiausaha JAPERUN Taboh Naning, Nor Hadi Otoh dan Pegawai Kebajikan JAPERUN, Taufik Abdul Rahman.

Selain pejabat berkenaan, turut dipecah masuk ialah TADIKA JAIM yang menyebabkan kehilangan alat timbang berat dan televisyen milik TADIKA Permata Negara.

Beliau berkata, nota berkenaan dipercayai bertujuan mengelirukan pihaknya dan polis kononnya jenayah dilakukan pelarian Rohingya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun.

Beliau berkata, bangunan berkenaan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 4:44 PM