FOTO Hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


SEORANG lelaki warga Bangladesh berstatus suami dan pasangannya yang juga janda dijatuhi hukuman denda RM2,800 dan tiga bulan penjara di Mahkamah Rendah Syariah Marang, hari ini atas tuduhan berkhalwat.

Selain itu, tertuduh berusia 35 tahun dan pasangannya berusia 34 tahun yang juga warga Indonesia turut berdepan hukuman penjara enam bulan lagi sekiranya mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Bagaimanapun, mereka terpaksa meringkuk di penjara selama sembilan bulan selepas gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof membuat keputusan itu selepas dua tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu khalwat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa berkhalwat dalam sebuah rumah di Wakaf Tapai di Marang, 11.04 malam pada 18 Ogos lalu.

Pendakwaan dijalankan Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa daerah melakukan serbuan berwaran di rumah di Wakaf Tapai, Marang.

Ketika sampai di rumah berkenaan, pintu tertutup dan berkunci sebelum anggota mengetuk pintu sambil memberi salam.

Pintu dibuka seorang lelaki sebelum pemeriksaan lanjut menemui tertuduh wanita sedang duduk di atas lantai dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati mereka bukan suami isteri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 6:58 PM