BANGUNAN Utusan Melayu Bhd di Jalan Chan Sow Lin. FOTO MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Ekhwan Haque Fazlul Haque


OPERASI syarikat Utusan Melayu (M) Bhd akan diteruskan di sebalik kemelut kewangan yang masih membelenggu penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!.

Memetik portal berita Utusan Online, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir berkata, kumpulan berkenaan tidak akan memberhentikan operasi seperti tular di laman sosial sejak semalam.

Bagaimanapun menurutnya, syarikat berkenaan akan terus beroperasi dengan pelan melonjakkan kembali aktiviti perniagaan.

“Langkah ini (beroperasi) diteruskan walaupun syarikat akhbar berada dalam situasi sukar termasuk beralih ke media sosial.

“Kita hadapi masalah tapi ada pelan meningkatkan perniagaan,” katanya selepas seisi taklimat khas di Dewan Besar Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, syarikat mengambil keputusan menaikkan harga akhbar Utusan Malaysia daripada RM1.50 kepada RM2 senaskhah manakala Kosmo! daripada RM1 kepada RM1.50 senaskhah mulai 23 Ogos ini.

Semalam, kira-kira 100 pekerja syarikat berkenaan mengadakan piket di hadapan pejabat mereka bagi menyatakan ketidakpuasan hati susulan kegagalan pembayaran gaji sejak Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 8:12 PM