GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Wartawan Jenayah HM


DUA koperal polis ditahan di hadapan kedai serbaneka 24 jam di Lembah Maju, Ampang selepas memeras ugut seorang pelayan restoran, semalam.

Sumber berkata, dua anggota polis berusia 30-an itu dikatakan meminta pasport milik mangsa berusia 18 tahun ketika berada di tempat kerjanya di Pandan Indah pada 6.30 petang.

“Mangsa memaklumkan dia hanya memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), namun anggota terbabit memberitahu kad itu tidak boleh digunakan sebelum meminta wang sebanyak RM2,000 supaya dia dilepaskan.

“Mereka kemudian mengambil wang mangsa sebanyak RM620 dan merampas telefon lelaki terbabit. Anggota berkenaan seterusnya menyuruh mangsa menelefon selepas mempunyai wang yang cukup.

“Mangsa kemudian menelefon anggota terbabit pada 10 malam untuk memberikan baki wang diminta sebelum menyerahkan wang RM400 kepada mereka di hadapan kedai serbaneka 24 jam di Lembah Maju,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua anggota terbabit yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya kemudian ditahan sepasukan polis daripada Cawangan Risikan dan Operasi Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 10.10 malam.

“Hasil siasatan mendapati seorang daripada mereka mengaku wang tunai RM400 ditemui di dalam kenderaan dinaiki mereka diterima daripada mangsa.

“Difahamkan kedua-dua anggota berkenaan mempunyai rekod tatatertib. Ujian saringan air kencing dilakukan terhadap mereka pula didapati negatif,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung tangkapan itu.

“Kedua-dua polis berkenaan direman selama dua hari sehingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 10:05 PM