UGUTAN berbentuk keris yang diterima ahli parti politik di Balakong.
Khairul Najib Asarulah Khan


‘JANGAN kacau Jawi, sayang lu punya anak bini’. Itu kandungan surat diterima salah seorang ahli DAP Balakong, Lee Khai Ming, jam 11 pagi tadi.

Surat dengan tulisan merah turut memaparkan gambar isteri dan anak ahli DAP disyaki dihantar individu yang marah dengan tentangan dilakukan Lee.

Ia dipercayai berhubung isu pelaksanaan tulisan jawi dalam subjek Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, Wong Siew Ki berkata, terdapat sebilah keris disertakan bersama surat termasuk logo sekolah anak perempuan Lee.

“Dengan itu, saya bersama Lee dan beberapa ahli DAP ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang jam 4 petang tadi membuat laporan sebelum selesai kira-kira tiga jam kemudian.

“Kita risau keselamatan dia dan keluarganya kerana itu adalah ugutan. Kita menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan individu yang menghantar surat ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan berkata, Jemaah Menteri memutuskan pengenalan tulisan Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu kepada murid tahun empat bagi SJK diteruskan mulai tahun depan.

Bagaimanapun, pelaksanaannya hanya dilakukan jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa dan murid SJK manakala bagi Sekolah Kebangsaan akan diteruskan seperti biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Ogos 2019 @ 11:24 PM