ANGGOTA bomba menggunakan tali bagi menyelamatkan empat nelayan selepas bot mereka karam di muara Kuala Dungun 10 Ogos lalu.


“SELAGI muara tidak diperdalamkan dan dibina benteng pemecah ombak, selagi itu ia menagih korban.”

Itu rata-rata jawapan nelayan ketika diminta mengulas kejadian muara Kuala Dungun yang cetek dan meragut banyak nyawa.

Berdasarkan rekod dari Jun 2013 hingga kini, enam kes bot karam berlaku di situ dengan tiga kematian, (lima) hilang tanpa ditemui serta (13) berjaya diselamatkan dan semua mereka nelayan tempatan.

Kejadian terbaru awal 10 Ogos lalu yang nyaris mengorbankan empat nelayan iaitu Mohd Rawi Mohd, 55, tekong bot, Mansor Awang, 62, Muhammad Khairul Hafiz Mansor, 27, dan Muhammad Firdaus Azmi, 21, sebelum diselamatkan anggota bomba, jam 1.30 pagi.

Nelayan, Mohamad Abd Ghani, 58, berkata, keadaan muara yang cetek akibat mendapan pasir serius sudah lama disuarakan oleh 500 nelayan yang berdepan cabaran laluan keluar dan masuk serta mendaratkan hasil tangkapan.

Katanya, pada 2015, kerajaan mendalamkan muara itu dengan peruntukan RM10 juta, namun tidak tahan lama dan muara itu kembali cetek.

“Apabila ombak besar pada musim tengkujuh, ia akan membawa semula pasir di tengah laut dan menutupi muka kuala terbabit.

“Kalau nak selesaikan masalah itu, kerajaan perlu membina benteng pemecah ombak sebagaimana yang dibina di Besut, Marang dan Kemaman,” katanya.

Abd Wahab Awang, 63, berkata, mereka faham peruntukan besar diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak.

“Namun sekarang sudah enam tahun, setiap tahun kita hanya dengar dah nak bina, tetapi sehingga sekarang tidak dibina,” katanya.

Katanya, muara Kuala Dungun paling lama bermasalah sehingga nyawa menjadi korban dan masalah itu paling awal dikemukakan Persatuan Nelayan Dungun kepada kerajaan.

“Kita paling awal minta, sebaliknya muara di daerah lain yang tidak serius dan tidak pernah berlaku kemalangan jiwa dapat lebih awal peruntukan dan semuanya siap dibina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:00 AM