FAHAIZAL Zee bersama Nurul Sharmine Sofea yang terlantar di atas katil berikutan lumpuh separuh badan.


“SAYA buntu dengan penyakit saya. Walaupun sudah pergi beberapa hospital namun masih gagal mengetahui jenis penyakit yang dialami,” luah Nurul Sharmine Sofea Fahaizal Zee, 21.

Dia yang juga graduan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dalam bidang Diploma Sains Komputer sudah hampir setahun terlantar berikutan lumpuh separuh badan.

Walaupun kelihatan seperti wanita biasa, namun, Nurul Sharmine Sofea dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, penyakitnya itu bermula apabila dia tidak dapat merasakan kakinya menjejak lantai selepas demam panas pada tahun lalu.

“Mula-mula saya ingat hanya perkara biasa. Namun, perkara itu disedari abah (Fahaizal Zee Mohd Jaapar, 47) yang melihat saya asyik tertunduk ketika berjalan.

“Abah yang menyuruh saya pergi buat pemeriksaan di hospital. Pihak hospital memaklumkan ia mungkin disebabkan gangguan saraf.

“Namun, deria sentuh saya semakin hilang. Sehingga kini, saya tidak boleh rasa sekiranya orang cubit atau sentuh badan saya,” katanya di rumahnya di Taman Semenyih Ria, di sini.

Anak kedua daripada enam beradik itu berkata, keluarganya adalah sumber kekuatan untuk dia meneruskan kehidupan walaupun harapan untuk dia sembuh masih samar.

“Saya mengharapkan keajaiban supaya penyakit saya ini sembuh sepenuhnya walaupun saya tahu sehingga kini belum ada penawarnya.

“Impian saya nak sambung pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang sama dengan pengkhususan keselamatan siber.

“Saya nak abah dan mama tengok saya berjaya supaya saya boleh balas jasa mereka selama ini membesarkan saya dan adik-beradik yang lain,” katanya.

Bapanya yang juga bekas jurutera, Fahaizal Zee berkata, menurut doktor yang merawat anaknya itu, Nurul Sharmine Sofea perlu dirujuk kepada pakar neuromuscular dari luar negara.

“Sehingga kini, pihak hospital awam belum dapat mengenal pasti penyakit anak saya walaupun sudah beberapa kali sampel darah diambil.

“Malah, hospital seperti rumah keduanya. Dia pernah ditahan di wad selain koma sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan baru-baru ini,” katanya yang terpaksa berhenti kerja akibat derita tulang belakang selain menghidap vertigo.

Perbelanjaan mereka bergantung dengan jualan baju wanita secara kecil-kecilan selain faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang diterima Fahaizal Zee sebanyak RM1,694 dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), RM350.

Selain itu, Nurul Sharmine Sofea turut menerima bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi kelengkapan perubatan serta lampin pakai buang dan susu.

Menurutnya, walaupun bantuan itu kelihatan cukup, namun selepas ditolak perbelanjaan harian, persekolahan, komitmen lain, serta kos ulang alik ke hospital ia hanya berbaki RM200.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 162414104 milik Fahaizal Zee Mohd Jaapar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:05 AM