Bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM Bintulu Ahad lalu. FOTO Erika George
Erika George


KEGIATAN bot nelayan dari Vietnam yang menangkap hasil laut dianggarkan bernilai lebih RM1 juta tumpas apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan negara di Bintulu Ahad lalu.

Timbalan Pengarah Zon Maritim (Operasi) Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil berkata, tangkapan oleh Kapal Maritim Sri Aman pada 8 pagi itu dilakukan di kawasan 106 batu nautika dari Utara Tanjung Kidurong.

“Seramai 17 kru bot nelayan yang berusia dari 18 hingga 49 tahun ditahan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka gagal mengemukakan permit penangkapan ikan yang sah di perairan negara,” katanya.

Katanya, semua nelayan warga Vietnam dan bot yang digunakan termasuk peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan dibawa ke Pelabuhan Bintulu untuk tindakan lanjut.

“Semua kru bot berkenaan direman 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985.

“Kami komited dalam membanteras sebarang pencerobohan oleh nelayan asing di perairan negara dan Maritim Malaysia sentiasa berusaha melaksanakan rondaan secara berterusan bagi membanteras kegiatan pencerobohan terutama mereka yang mencuri hasil laut negara,” katanya.

Beliau berkata, segala maklumat atau aduan berkenaan kegiatan jenayah di perairan negara khususnya membabitkan pencerobohan bot nelayan asing boleh disalurkan kepada pihaknya.

“Maklumat boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314237/314254 atau melalui laman FacebookZon Maritim Bintulu dan Twitter Zon [email protected],” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 1:12 PM