Keadaan kereta mangsa yang terbabas di Kilometer 4.6 Lebuhraya SILK. FOTO Ihsan Pembaca
Nurul Hidayah Bahaudin


WANITA maut, adiknya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas hingga berada atas silinder konkrit di bahu jalan di Kilometer 4.6 Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK), Kajang hari ini.

Dalam kejadian 5.40 pagi itu, mangsa, Siew Zi Lin, 25, disahkan maut di lokasi manakala adik lelakinya, Siew Zi Chen, 19, cedera bahu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor Superintendan Azman Shari’at berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi dinaiki mangsa dalam perjalanan dari Sri Petaling menuju ke Balakong.

“Sebaik tiba di lokasi, ketika kereta itu berada di lorong tengah, sebuah kereta tidak dikenal pasti masuk ke lorong berkenaan.

“Kereta dinaiki mangsa kemudian mengelak ke laluan kiri menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan dipercayai melanggar tiang lampu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, kereta mangsa kemudian terbalik dan terbabas hingga ke atas silinder konkrit di kiri lebuh raya.

“Mangsa yang duduk di tempat penumpang hadapan parah sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kereta cedera di bahu dan dibawa ke Hospital Serdang.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 5:22 PM