Nurul Hidayah Bahaudin


POLIS mengesan pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang memandu secara melawan arus di Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA) di Ampang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 10 malam tadi.

“Pegawai bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, Inspektor Navine Gunasegaran memaklumkan melihat rakaman video kejadian itu yang berdurasi 45 saat tular di media sosial sejak semalam.

“Dalam kejadian itu, pemandu Perodua Alza warna putih berkenaan dilihat memandu secara melawan arus dan berbahaya tanpa mempedulikan pengguna jalan raya lain.

RAKAMAN video tular di media sosial menunjukkan Perodua Alza dipandu secara melawan arus di Lebuhraya BESRAYA, semalam. FOTO ihsan pembaca.

“Malah, tindakan itu boleh menyebabkan kemalangan membabitkan kenderaan lain yang berada di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, polis kini sedang giat mengesan pemandu Perodua Alza berkenaan.

“Arahan tangkapan terhadap pemandu itu sudah dikeluarkan.

“Selain itu, kami turut merakam percakapan pemandu yang terbabit dalam kemalangan dua kereta berpunca daripada tindakan pemandu Perodua Alza itu melawan arus.

“Pada masa sama, kami menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lebuh raya berkenaan untuk mengenal pasti identiti pemandu kenderaan terbabit,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Inspektor Navine Gunasegaran di talian 012 6436327.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Ogos 2019 @ 7:20 PM