Dziyaul Afnan Abdul Rahman


WALAUPUN dilahirkan tidak seperti insan lain, namun dia mampu membuktikan kekurangan diri bukanlah halangan untuk berjaya termasuk dalam dunia kulinari.

Remaja cacat pertuturan dan pendengaran, Wan Muhammad Hafizunif Wan Roslan, 23, dari Felda Mata Ayer, Padang Besar nyata tidak menjadikan itu sebagai alasan dan kekangan untuk berjaya seperti orang lain.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu memiliki bakat istimewa sehingga diiktiraf di persada antarabangsa bagi mewakili negara ke Pertandingan Abilympian Antarabangsa edisi ke 10 bagi kategori kek perhiasan atau ‘fondant’ di Moscow, Russia tahun hadapan.

Wan Muhammad Hafizunif berkata, dia teruja kerana ini kali pertama dia meninggalkan keluarga untuk menggalas cabaran mewakili negara ke pertandingan itu.

“Saya mahu membalas jasa ibu yang tidak pernah penat berulang-alik sejauh 40 kilometer dari rumah di Padang Besar ke Kangar dengan menaiki bas untuk menghantar saya ke sekolah pendidikan khas.

“Malah ibu juga sanggup menemani saya di luar kelas dari awal waktu sehingga habis persekolahan bagi memastikan saya tidak mudah gugup ketika berada di kelas selama empat tahun,” katanya yang menggunakan bahasa isyarat dan diterjemahkan kakaknya.

Sementara itu, Wan Zurina Wan Salim, 50, berkata, anaknya dikesan meminati bidang masakan ketika berusia 14 tahun.

“Dia mula masuk pertandingan memasak anjuran sekolahnya dan sering memenangi kejohanan dengan hasil air tangan sendiri.

“Sejak itu, minatnya dalam bidang masakan semakin serius dan mula mengambil tempahan seperti kek dan roti daripada pelanggan sehinggalah dia berjaya menyambung pengajian dalam jurusan kulinari di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin,” katanya.

Zurina berkata, dia memahami perangai anaknya itu yang pantang mengalah selagi belum berjaya.

“Selagi kek yang dibuatnya tidak mengikut citarasa dimahukan, selagi itulah dia menghadap ketuhar.

“Tiada lain yang diharapkan sebagai ibu, selain dia pulang dengan kejayaan demi mengharumkan nama negara,” katanya.

Pada pertandingan itu 15 orang kurang upaya (OKU) dalam pelbagai kategori terpilih untuk meraih pingat emas.

Sebanyak 15 daripada 30 kategori dipertandingkan antaranya gubahan bunga, lukisan, sulaman, fotografi dan pemerosesan perkataan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 11:56 AM
Wan Muhammad Hafizunif akan mewakili negara ke Pertandingan Abilympian Antarabangsa di Russia tahun hadapan. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman