Longgokan kayu balak yang disita PMW5 Bintulu. FOTO Erika George
Erika George


SEBANYAK 170 kayu balak pelbagai spesies bernilai RM34,000 yang dilonggokkan di kawasan hutan berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Pelugau, di Jalan Tatau- Selangau, Bintulu dirampas Isnin lalu.

Komander Polis Marin Wilayah 5 (PMW5) Bintulu, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, longgokan balak itu dirampas 8.30 pagi selepas dipercayai cuba diseludup keluar tanpa kebenaran Jabatan Hutan Sarawak (JHS).

“Kami percaya longgokan balak itu mahu dibawa keluar kumpulan tertentu.

“Hasil semakan PPMW5 mendapati, semua kayu balak itu tidak mempunyai tanda hak milik dan tanda cukai pada batang kayu.

“Justeru rampasan dibuat kerana balak berkenaan diperoleh secara haram tanpa kebenaran JHS,” katanya hari ini.

Katanya, tiada tangkapan dibuat di lokasi kejadian kerana individu bertanggungjawab sudah melarikan diri.

“Kami akan menjalankan siasatan terperinci bagi menjejak dan memberkas individu bertanggungjawab yang melakukan kegiatan menebang balak haram di kawasan hutan berdekatan,” katanya.

Shamsol berkata, laporan polis turut dibuat di Balai Polis Selangau manakala kes terbabit diserahkan kepada JHS Bahagian Sibu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:12 PM