GURU dan kakitangan SK Balok yang memakai tudung atau tanjak corak Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


SEMANGAT patriotik jelas kelihatan pada 93 guru serta kakitangan wanita Sekolah Kebangsaan (SK) Balok, Kuantan yang memakai tudung bercorak Jalur Gemilang pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Guru besar SK Balok Jantan Yasin berkata, persiapan meraikan Bulan Kemerdekaan dilakukan sejak sebulan lalu apabila pembelian tudung corak Jalur Gemilang berharga RM25 sehelai dilakukan serentak secara dalam talian.

Menurutnya, lebih menarik tahun ini apabila semua guru dan kakitangan wanita sepakat memakai pakaian warna yang terdapat pada Jalur Gemilang seperti merah, biru, kuning dan putih bagi menceriakan lagi penampilan.

“Saya difahamkan setiap guru dan kakitangan wanita membelanjakan lebih RM170 untuk membeli tudung dan sepasang baju, mereka secara ikhlas dan suka rela menyediakan kelengkapan untuk membuktikan rasa cinta pada negara.

“Untuk menambahkan lagi kemeriahan serta keceriaan Bulan Kemerdekaan pihak sekolah turut memasang sebanyak 135 Jalur Gemilang disekeliling sekolah termasuk pada bangunan,” katanya pada majlis pelancaran Bulan Kemerdekaan peringkat SK Balok, di sini semalam.

Beliau berkata, untuk memeriahkan lagi suasana di sekolah sebahagian guru lelaki tampil memakai tanjak Jalur Gemilang sepanjang berada dalam kawasan sekolah.

Jantan berkata, tudung dan tanjak Jalur Gemilang dipakai guru bermula awal bulan ini seterusnya akan berakhir pada 15 September, sepanjang Bulan Kemerdekaan turut diadakan pelbagai aktiviti membabitkan murid seperti bacaan sajak dan bercerita.

Bagi Hartini Mustafa, 50, guru bahasa Melayu, aktiviti memakai tudung dan tanjak Jalur Gemilang yang dilakukan antara bukti cinta dan sayangkan kepada negara yang menyambut kemerdekaan ke 62.

“Ia juga diharap menjadi contoh serta bukti kepada murid bahawa kemerdekaan amat berharga dan perlu terus dikekalkan bagi menjamin kehidupan selesa pada masa akan datang.

“Saya dapati ramai murid tertarik melihat guru mereka memakai tudung dan tanjak Jalur Gemilang malah ada yang ingin mencubanya,” katanya yang berharap tradisi setiap kali Bulan Kemerdekaan itu dapat terus dikekalkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:29 PM