Abdul Fattah (kiri) bersama Azman (dua kanan) bertukar dokumen perjanjian kerjasama antara ANGKASA dan Ecoriths di Kelana Jaya hari ini. FOTO Zulfadhli Zulkifli


ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) memperkenalkan pakej yang membolehkan ahlinya menunaikan umrah melalui skim potongan gaji.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pakej Umrah Kasih Sayang itu adalah perkhidmatan pinjaman yang memberi peluang untuk ahli ANGKASA menunaikan ibadat itu terlebih dulu tanpa perlu membayar kos penuh.

Menurutnya, ahli akan membuat pinjaman daripada koperasi dan pihaknya akan membayar jumlah penuh kepada pengendali yang menawarkan pakej ibadat itu.

“Selain itu, pakej ini turut membenarkan ahli koperasi menyimpan wang melalui skim potongan gaji sehingga kos mengerjakan umrah yang diperlukan itu cukup.

“Mereka (ahli koperasi ANGKASA) turut boleh berbuat demikian untuk pasangan (suami atau isteri), anak-anak dan juga ibu dan bapa mereka mengikut kemampuan masing-masing.

“Ini adalah inisiatif ANGKASA untuk memudahkan ahli kami termasuk keluarga menunaikan ibadat umrah selain mengelakkan ditipu syarikat pelancongan yang tidak bertanggungjawab,” katanya ditemui dalam Program Umrah Koperasi Bersama ANGKASA.

Dalam program itu, ANGKASA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Eco Riths Leisure Travel & Tour Sdn Bhd (Ecoriths).

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Ecoriths, Azman Ibrahim.

Abdul Fattah berkata, pihaknya mensasarkan 25,000 ahli koperasi di negara ini menunaikan ibadat itu melalui pakej berkenaan tahun depan.

“Buat masa ini, hanya Ecoriths menyertai program ini.

“Kami yakin lebih banyak pengendali ibadat umrah ini akan menyertai program kerjasama ini pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 2:53 PM