DR Mohamad ketika sidang media selepas majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan sesi 2 di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya (PPj), hari ini. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Siti A’isyah Sukaimi


“KALAU rasa tak selamat, jangan naik. Anda ada pilihan, kita tak paksa gunakan teksi motosikal,” kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai keselamatan penumpang yang akan menggunakan khidmat e-hailing itu.

Perkara itu susulan keputusan Kabinet sebulat suara meluluskan modal ekonomi Gojek atau Dego Ride, semalam.

Dr Mahathir berkata, pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal di negara ini dapat membantu pengusaha tempatan yang menjalankan perniagaan kecil.

“Jika Gojek datang ke sini, ia akan memberi manfaat kepada peniaga kecil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sesuatu dasar atau pendekatan yang ingin dilaksanakan kerajaan akan ada tentangan daripada mana-mana pihak.

“Iyalah...ada yang tak puas hati. Sesetengah pihak akan menentang, tetapi kita mahu tahu ia memberi manfaat kepada negara atau sebaliknya,” katanya.

Menerusi video dimuat naik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada akaun Instagram, beliau memaklumkan, Kabinet sebulat suara meluluskan modal ekonomi Gojek atau Dego Ride.

Selain memberi peluang pekerjaan kepada mat motor, pelaksanaan perkhidmatan teksi motosikal, Gojek atau Dego Ride turut bertujuan membantu usahawan muda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 7:15 PM