DATUK A Kadir Jasin. FOTO Aizuddin Saad.


“ADAKAH Kuala Lumpur sesak dan kurang pengangkutan awam seperti Jakarta?”

Itu antara soalan daripada Penasihat Media Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin berkenaan isu teksi motosikal, Gojek.

Dalam satu hantaran di laman Facebook bersama paparan muka depan Harian Metro mengenai isu berkenaan hari ini, beliau mengemukakan beberapa persoalan berkaitan pelaksanaan perkhidmatan itu.

“Apakah ini pengakuan bahawa berpuluh bilion ringgit yang dibelanjakan membina MRT (Transit Aliran Massa), LRT (Transit Aliran Ringan) dan Rapid KL serta memperluaskan sistem jalan raya gagal mencapai matlamat?

“Adakah Gojek pekerjaan kemahiran tinggi dan pendapatan tinggi yang menjadi dasar kerajaan?

“Apakah jaminan keselamatan memandangkan kadar kemalangan jalan raya dan nisbah kematian tinggi, khususnya dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal?” soal beliau.

Malah, beliau berkata, sama ada ia akan menjadi satu lagi kegiatan ekonomi yang akan meletakkan Bumiputera di anak tangga terendah dalam hirarki pendapatan.

GoJek yang namanya daripada ‘Ojek’ atau teksi motosikal diasaskan Nadiem Makarim di Jakarta pada 2010, bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dilaporkan berkata, Kabinet sebulat suara meluluskan modal ekonomi Gojek.

Menurutnya, perkhidmatan itu untuk membantu golongan mat motor mendapat peluang pekerjaan, selain membantu usahawan muda untuk menjual barangan mereka dengan perkhidmatan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 7:41 PM