Penceramah bebas, Dr Zakir Naik
Siti A’isyah Sukaimi


PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya tidak menghantar penceramah bebas, Dr Zakir Naik pulang ke India.

“Buat masa ini, tiada perubahan (pendirian),” katanya ringkas ketika sidang media selepas majlis Perjumpaan Pegawai Kerajaan Bersama Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau tetap dengan pendiriannya sebelum ini, untuk tidak menghantar pulang Dr Zakir ke negaranya.

Sebelum ini, beliau menegaskan, kerajaan tidak akan menghantar pulang penceramah bebas itu sekiranya Dr Zakir tidak membuat sebarang masalah.

Selasa lalu, Harian Metro melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang penceramah terkenal itu menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Dalam notis edaran dalaman secara rahsia pasukan berkenaan, arahan itu dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM Datuk Asmawati Ahmad dan menyatakan tindakan berkenaan diambil demi keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 8:35 PM