Dr Mahathir menandatangani plak pelancaran Pokok Kebangsaan selepas majlis perasmian pameran ‘Hutan Kita’ 2019. FOTO Mohd Yusni Ariffin
Fairul Asmaini Mohd Pilus


POKOK Merbau (Malacca teak atau Intsia palembanica) dipilih sebagai Pokok Kebangsaan.

Pengumuman itu dilakukan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap merasmikan Pameran Hutan Kita di Menara Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, beliau percaya rakyat Malaysia akan menerima pokok Merbau sebagai salah satu simbol kebanggaan negara.

Dalam pada itu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pokok Merbau dipilih sebagai lambang keutuhan integriti hutan negara.

Katanya, ia hasil pengurusan secara mampan serta usaha pemuliharaan khazanah biodiversiti Malaysia.

“Malaysia adalah antara 12 negara yang paling kaya dengan biodiversiti yang mana hampir 70 peratus spesis dunia terdapat di negara ini.

“Selain itu, dianggarkan lebih 15,000 spesis tumbuhan vaskular dengan anggaran 8,300 terdapat di Semenanjung manakala 12,000 lagi Sabah dan Sarawak.

“Justeru pemilihan pokok Merbau ini secara tidak langsung menjadi simbol kepentingan hutan kepada pembangunan industri dan ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas perasmian Pameran Hutan Kita.

Dalam pada itu, Xavier berkata, Pameran Hutan Kita akan berlangsung sehingga 22 September ini dan ia adalah salah satu inisiatif di bawah Program Konservasi Hutan Kita 2019-2020.

“Pameran itu juga sejajar dengan komitmen negara ketika Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 iaitu untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara di bawah litupan hutan.

“Lebih istimewa, Pameran Hutan Kita turut berjaya mencipta rekod kebangsaan dan diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai Pameran Spesis Pokok Hutan Hujan Tropika Terbesar dengan lebih 850 spesis dipamerkan,” katanya.

Orang ramai dijemput hadir ke pameran itu dan masuk adalah percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 11:18 AM