KEADAAN di KLIA pada hari kedua gangguan sistem. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor.
Noor Atiqah Sulaiman


KECEWA dan penat. Itu reaksi penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang berhadapan kelewatan penerbangan beberapa kali disebabkan gangguan sistem.

Rata-rata mereka mengeluh walaupun terpaksa menunggu lebih lama meskipun sudah tiba di lapangan terbang empat jam sebelum penerbangan berlepas.

Masalah teknikal yang dipercayai berpunca daripada mesin pelayan KLIA hingga menyebabkan kemudahan WiFi, paparan maklumat penerbangan balai pelepasan dan kaunter daftar masuk bagasi, terganggu.

MAHB dalam kenyataannya, pagi ini memaklumkan 68 penerbangan terpaksa ditangguh setakat 10 malam semalam.

Seorang penumpang, Aiman Amran, 29, berkata, dia bersama 20 ahli keluarganya ke Bandung dengan penerbangan yang dijadual semula pada 4 petang berbanding waktu asal 8 pagi.

Katanya, penjadualan semula itu adalah yang kedua selepas 3 petang yang dilapor semalam.

“Saya dan keluarga tiba 8 pagi tadi apabila dimaklumkan penerbangan pada 3 petang. Bagaimanapun, ketika mahu mendaftar, dimaklumkan pula penerbangan pada 4 petang.

“Sudah tentu hal ini mengganggu jadual percutian yang sudah dirancang apabila tiba di Bandung,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penumpang, Fatin Afiqah Zaimi, 25, berkata, dia dan rakannya tiba di KLIA empat jam lebih awal dengan penerbangan mereka ke Manila sepatutnya berlepas pada 8 pagi.

“Kemudian saya terima pemberitahuan di emel bahawa penerbangan ditangguh ke 11 pagi, namun lima jam saya menunggu, masih belum ada maklumat terbaharu mengenai penerbangan.

“Sejak semalam, saya mengikuti segala info MAHB di media sosial yang maklum masalah selesai pagi ini tetapi keadaan masih sama juga.

“Memang saya kecewa perlu menunggu lama begini. Percutian yang sepatutnya menggembirakan sudah jadi lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 12:49 PM