Farah Suhaidah Othman


KERAJAAN negeri memberi tempoh sehingga 23 Oktober ini kepada 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Perak bagi mengisytiharkan harta sebagaimana termaktub dalam usul yang diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 23 Julai lalu.

Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, borang berkanun pengisytiharan harta sudah dihantar kepada semua ADUN secara pos laju 21 Ogos lalu untuk dilengkapkan.

Menurutnya, borang berkenaan perlu dilengkapkan dan dihantar pada atau sebelum 23 Oktober ini iaitu dalam tempoh tiga bulan dari tarikh usul itu diluluskan 23 Julai lalu.

“ADUN perlu menghantar dua salinan kepada Yang Dipertua Negeri iaitu kepada saya dan kemudian satu salinan akan dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan selanjutnya.

“Maklumat pengisytiharan harta itu akan dipaparkan dalam tempoh tiga bulan menerusi portal SPRM dan saya sudah mengatur taklimat pengisytiharan harta 28 Ogos ini untuk semua ADUN bersama SPRM bagi membantu mengisi borang itu.

“Saya memohon semua ADUN, sama ada kerajaan mahupun pembangkang mengemukakan pengisytiharan harta demi ketelusan dan ini adalah satu cara memastikan wakil rakyat telus dan tidak terbabit dalam rasuah,” katanya dalam sidang media hari ini.

Koo Ham berkata, kegagalan ADUN berbuat demikian, tindakan disiplin atau tatatertib akan dilaksanakan selepas dirujuk kepada Jawatankuasa dan Kebebasan Dewan Negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 3:56 PM