FOTO Hiasan
Sarah Zulkifli


DUA lelaki warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini atas tuduhan menipu ejen hartanah berhubung 47 ketulan emas palsu membabitkan kerugian RM100,000.

Kedua-dua tertuduh, Zeng Shandong, 51, dan Wang Keyuan, 56, masing-masing membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atas mereka dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menipu Yap Chee Heong, 32, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai terdapat 45 ketulan dan dua ketulan patung emas tulen yang ditawarkan kepadanya tetapi tidak sehingga mangsa menyerahkan wang tunai RM100,000 kepada kedua-dua tertuduh.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di kawasan parkir pusat membeli-belah IOI Mall Puchong 12 tengah hari, 7 Ogos lalu.

Dakwaan ke atas mereka dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan penjara tidak kurang setahun dan lebih 10 tahun atau denda dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid kemudian menawarkan jaminan RM10,000 setiap seorang dengan dua penjamin.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam R Dinesh kemudian merayu jaminan dikurangkan kerana mereka sudah berkahwin dan ada tanggungan di negara asal selain kehadiran di sini sebagai pelancong.

Mohamad Ikhwan kemudian membenarkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin warga tempatan selain syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan dibenarkan.

Mahkamah menetapkan 23 September ini sebagai tarikh sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 4:01 PM