GAMBAR hiasan.
Shamsul Munir Safini


LEBIH 5,000 pakaian berjenama tiruan bernilai RM150,000 dirampas pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang, semalam.

Semua pakaian itu dirampas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Georgetown dan Butterworth.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, serbuan pertama di gudang di Pulau Tikus menemui 133 helai pakaian berjenama palsu yang dijadikan sampel kepada peniaga yang mahu menempahnya.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui data menyimpan senarai kedai yang mengambil barang tiruan di situ, sebelum serbuan kedua dibuat di stor simpanan pakaian palsu di kawasan sama.

“Kita menahan pemilik kedai itu dipercayai pengedar barangan palsu dan serbuan menemui 4,798 helai pakaian berjenama palsu.

“Seterusnya, pasukan menyerbu sebuah premis lagi di Butterworth yang menjual pelbagai pakaian termasuk selipar dan kasut berjenama palsu secara runcit kepada orang ramai.

“Di situ, 363 unit barangan dirampas,” katanya pada sidang media di Butterworth, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, daripada rampasan itu 4,726 unit daripada jenama Adidas palsu, 693 unit Nike dan 68 Levis.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) dan Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 4:02 PM