RON 97 naik dua sen manakala RON95 dan diesel kekal bagi tempoh 24 hingga 30 Ogos ini.
Mohd Husni Mohd Noor


HARGA runcit petrol RON97 naik dua sen pada harga RM2.51 seliter manakala RON95 dan diesel kekal masing-masing pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter berkuat kuasa tengah malam ini.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini berkata, harga bahan api berkenaan ditetapkan bagi tempoh 24 hingga 30 Ogos ini berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

Katanya, berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh sama masing-masing sepatutnya RM2.21 seliter dan RM2.25 seliter.

“Namun harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh berkenaan adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya.

Anggaran subsidi yang ditanggung kerajaan bagi mengekalkan harga runcit RON95 dan diesel masing-masing adalah RM46.18 juta dan RM9.3 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:12 PM