PENGAWAL keselamatan warga Nepal ditahan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah. FOTO IHSAN JIM
Shamsul Munir Safini


LAGAK ‘cengey’ (garang) seorang pengawal keselamatan dari Nepal ketika diperiksa pihak berkuasa mengundang padah apabila diberkas kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang, Selasa lalu.

Dalam operasi bermula jam 8 malam di Butterworth, JIM memeriksa 48 warga asing selepas menyerbu 10 lokasi kediaman dan premis perniagaan sekitar Seberang Jaya, Butterworth, Prai dan Georgetown.

Pengarah JIM negeri, Mohamad Husni Mahmud berkata, pihaknya yang menyerbu pondok keselamatan di Persiaran Gurney menahan seorang warga Nepal bekerja sebagai pengawal keselamatan.

“Ketika diperiksa, warga asing berkenaan berang seolah tidak bersalah sebelum ditahan kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Lelaki Nepal ini antara sebahagian lapan warga asing termasuk tiga wanita ditahan JIM dalam operasi kali ini,” katanya.

Menurutnya, JIM negeri juga mengeluarkan saman terhadap empat lelaki tempatan dipercayai melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Mohamad Husni berkata, mereka ditahan terdiri daripada dua wanita Indonesia, seorang lelaki dan seorang wanita Thailand, seorang lelaki India dan tiga lelaki Nepal.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1)(c) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 5:41 PM