Noor Izzat (tiga kiri) bersama Syed Kamarul (empat kanan) selepas perjumpaan bersama masyarakat Hulu Selangor di Rawang, baru-baru ini. Foto Ihsan HUSEL
Yusmizal Dolah Aling


MASALAH keldai akaun, sambung bayar kenderaan, along atau ceti haram dan scam adalah antara 20 aduan yang dipanjangkan kepada Persatuan Kebajikan Anak Hulu Selangor (HUSEL) walaupun baru dua bulan ditubuhkan.

Pengerusi HUSEL Noor Izzat Mohd Johari berkata, pelbagai isu yang membelenggu rakyat di kawasan itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini menyebabkan pihaknya terpanggil untuk menubuhkan persatuan berkenaan yang bertindak sebagai orang tengah antara pengadu dan pihak berkuasa.

Menurutnya, antara yang mencatatkan aduan tertinggi ialah isu pinjaman along memandangkan terdapat sebahagian besar daripada pengadu adalah mereka yang berpendapatan rendah dan terbabit dengan ceti haram.

“Sebelum ini, mereka banyak berurusan dengan beberapa NGO di ibu negara dan sudah pasti ia mengambil masa dan memerlukan kos.

“Jadi, kita ambil pendekatan tubuhkan HUSEL untuk membantu mereka membuat aduan bagi memastikan setiap isu dapat dibawa ke tengah.

“Kita terkejut kerana banyak juga masalah di sini, semuanya membabitkan kepenggunaan. Justeru kita bekerjasama dengan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk isu terbabit,” katanya yang mengadakan pertemuan dengan wakil penduduk Hulu Selangor baru-baru ini.

Hadir sama dalam pertemuan itu ialah aktivis PPIM Syed Kamarul al Masyhur.

Noor Izzat berkata, pihaknya juga menerima aduan penipuan menerusi telefon terutama membabitkan warga emas yang mengeluarkan wang simpanan mereka selepas diperdaya sindiket tertentu.

Menurutnya, pihaknya berharap masyarakat di Hulu Selangor mengambil peluang itu untuk mengemukakan apa juga aduan berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian isu yang berlarutan sejak sekian lama.

“Kami boleh dihubungi di Facebook Persatuan Kebajikan Anak Hulu Selangor, ada aktivis yang sedia menunggu untuk melayani setiap aduan.

“Mana yang berkaitan dengan isu nasional kita salurkan kepada PPIM kerana mereka lebih pakar dan berpengalaman.

“Platform ini juga kita gunakan untuk melatih sukarelawan baru yang berminat untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat Hulu Selangor,” katanya.

Sementara itu, Syed Kamarul berkata, isu along membabitkan pengadu di daerah itu akan diselesaikan secara berjadual dengan memberikan tumpuan kepada kes serius membabitkan jumlah along yang ramai.

Menurutnya, kebanyakan kes sudah dirujuk kepada PPIM sebelum ini dan ada yang sudah diproses termasuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman sedia ada.

“Kita akan semak semula setiap aduan. PPIM komited untuk membantu mangsa dan mengalu-alukan komitmen anggota masyarakat untuk memberikan maklumat sekiranya ada,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:00 PM