Panglima ATM Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin
Mohd Azam Shah Yaacob


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menyifatkan tindakan individu di negara ini yang cuba mengiktiraf ahli Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) sebagai pejuang negara adalah satu bentuk pengkhianatan kepada negara.

Panglima ATM Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, mengiktiraf MPAJA yang kemudian dikenali sebagai Parti Komunis Malaya (PKM) adalah sesuatu yang tidak sesekali dipersetujui ATM.

Menurutnya, beliau yakin masih ramai yang faham mengenai sejarah negara ini tahu mengenai apa yang berlaku di tanah air satu ketika dahulu.

“MPAJA ini wujud ketika pendudukan Jepun sewaktu era perang dunia kedua dan selepas tentera Jepun menyerah kalah, tentera British pula mengisytihar perang terhadap gerakan itu yang kemudian dikenali sebagai komunis.

“Siapa yang faham sejarah akan tahu apa yang betul dan apa yang dilakukan oleh gerakan komunis itu.

“Jadi, untuk mengiktiraf mereka (MPAJA) sebagai pejuang negara sesekali tidak akan dipersetujui serta tidak boleh diterima oleh ATM,” katanya ketika ditemui dalam Wawancara Khas Panglima Angkatan Tentera sempena Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-86 di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata, tindakan individu cuba mengiktiraf MPAJA yang konon berjuang menentang pendudukan Jepun itu dianggap sebagai satu retorik atau cubaan memujuk masyarakat bagi menafikan gerakan komunis yang dijalankan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai tindakan individu di negara ini yang menggantung bendera Jalur Gemilang secara terbalik, beliau berharap agar ia tidak dipolemik.

Menurutnya, rakyat Malaysia sebaik-baiknya bertindak memperbetulkan perkara yang dilihat salah dengan cara sebaik mungkin tanpa menjadikan ia sebagai isu besar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:55 PM