Zuhainy Zulkiffli


SUDAH 16 hari berlalu, beberapa penduduk di Flat Mutiara Idaman 1, Jelutong, Georgetown yang terjejas akibat ribut melanda negeri ini masih belum dapat menduduki rumah mereka dan hanya menumpang di dewan orang ramai.

Ia berikutan enam rumah didiami 15 penghuni itu masih belum dibaiki walaupun masalah mereka sudah dibawa ke pengetahuan pihak kerajaan negeri.

Tinjauan mendapati rumah terjejas di tingkat 20 perumahan itu sama sekali tidak berbumbung dan punca kuasa elektrik pula terdedah kepada hujan.

Manakala barangan rumah termasuk barangan elektrik seperti kipas, peti sejuk dan mesin basuh sudah rosak dan tidak boleh digunakan.

Penduduk, Nurul Kamsiah Samad, 40, berkata pada hari kejadian, dia bersama suami, dua anak berusia 17 dan 14 tahun serta cucu (17 bulan) lari menyelamatkan diri ke tingkat 17 selepas angin kencang menerbangkan bumbung bahagian bilik, dapur, ruang tamu dan tandas.

Katanya, bukan saja tidak sempat menyelamatkan barangan, sehingga kini mereka terpaksa menumpang di dewan orang ramai perumahan itu kerana bimbang dengan keselamatan berkaitan penggunaan elektrik.

“Ini adalah kali ketiga bumbung rumah kami diterbangkan angin kencang selepas 2015 dan 2018 dan sebelum ini pihak kerajaan negeri hanya memasang bumbung sementara bagi membaikinya.

“Memandangkan ia mudah diterbangkan angin, kami memohon supaya siling berkenaan dibina semula menggunakan simen supaya terjamin kukuh,” katanya yang menganggarkan jumlah kerugian RM18,000 akibat kejadian itu.

Sementara itu, Yusliani Ali, 35, berkata, pihak kerajaan negeri termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Kim sudah meninjau keadaan perumahan itu sehari selepas kejadian.

Katanya, pada 2015 dan 2018, mereka cekap menangani masalah pasca banjir dan disebabkan itu penduduk yang terjejas pada tahun ini menolak bagi menduduki rumah sementara yang ditawarkan sambil mengharapkan perkara sama seperti dulu.

“Pada kejadian lalu (2015 dan 2018), kerajaan negeri mengambil masa kurang 10 hari bagi membaik pulih rumah kami, namun kini sudah lebih dua minggu, ada penduduk terpaksa mengambil cuti kerana bimbang rumah dimasuki pencuri.

“Sampai bila kami perlu menumpang di dewan berkenaan dalam keadaan tidak selesa, tiada kelengkapan elektrik dan majoriti tinggal di sini berpendapatan sederhana,” katanya yang bekerja sebagai pengasuh kanak-kanak di rumah.

Nurul Kamsiah dan Yusliani ditemui semasa membuat aduan kepada Presiden Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah, hari ini.

Sementara itu, Aminah berkata, dewan didiami penduduk itu tidak selamat serta tidak dilengkapi dengan kemudahan asas.

“Bayangkan kehidupan mereka tidak menentu, hendak memasak, mencuci dan menjalani kehidupan seperti biasa, sudah lebih dua minggu masih belum tiada tindakan.

“Kasihanilah anak kecil dan warga emas dengan pelbagai penyakit, justeru saya harap kerajaan negeri segera mengambil tindakan membaiki rumah mereka,” katanya.

Dalam kejadian 10 malam 9 Ogos lalu, hampir semua kawasan di Pulau Pinang dilanda ribut dan hujan lebat berikutan tempias taufan Lekima yang membadai Taiwan dan beberapa bahagian di wilayah China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 6:58 PM
SEBAHAGIAN penduduk di tingkat 20, Flat Mutiara Idaman 1 memeriksa perkakas dan barangan masih boleh digunakan selepas kediaman mereka dimasuki air dalam kejadian ribut pada 9 Ogos lalu. FOTO Zuhainy Zulkiffli.