DATUK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. FOTO Arkib NSTP.
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan dua hari bermula 19 September ini untuk perbicaraan kes rasuah RM1 juta membabitkan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan ahli perniagaan, Datuk Tan Eng Boon.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan tarikh itu ketika pengurusan kes itu di hadapannya.

Mahkamah turut menetapkan 28 Ogos depan untuk pihak pendakwaan menyerahkan dokumen tambahan kepada pasukan pembelaan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim manakala Tengku Adnan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Tan pula diwakili peguam Faisal Moideen.

Pada 8 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya perbicaraan kes rasuah dihadapi Tengku Adnan dan Tan itu dibicarakan bersama.

Tan dituduh memberi rasuah RM1 juta kepada Tengku Adnan berhubung kelulusan menaikkan ratio pembangunan di Jalan Semarak.

Tengku Adnan pula didakwa menerima wang RM1 juta terbabit bagi kelulusan itu.

Pada 15 November 2018, Tengku Adnan mengaku tidak bersalah secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank bernombor 14200008384058 miliknya.

Perbuatan itu sebagai upah bagi dirinya kerana meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (sekarang dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menaikkan ratio plot berkaitan dengan pembangunan Lot 228, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Dia dituduh melakukan kesalahan di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra, Level 2, Podium Block, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jalan Tun Ismail, Kuala Lumpur, pada 27 Disember 2013.

Tengku Adnan didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Beliau turut didakwa atas tuduhan pilihan iaitu sebagai seorang Menteri Wilayah Persekutuan, menerima untuk diri sendiri wang berjumlah RM1 juta daripada Tan melalui cek Public Bank bernombor 300109 milik syarikat Pekan Nenas Industries Sdn Bhd yang didepositkan ke dalam akaun CIMB Bank miliknya, yang diketahui Tan sebagai seorang Pengarah di syarikat Nucleus Properties Sdn Bhd ada perhubungan dengan kerja rasminya, di tempat dan tarikh sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:49 PM